KOTA BHARU – Tiga kedai makan diarah tutup selama 14 hari selepas didapati tidak mencapai standard kebersihan yang ditetapkan dalam Operasi Bersepadu Premis Bersih di sini hari ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, pihaknya telah menjalankan operasi itu pada pukul 8.30 pagi hingga 4 petang tadi dan telah memeriksa sebanyak 56 buah kedai makan serta restoran di sekitar bandar Kota Bharu yang menjadi tumpuan orang ramai.
Katanya, ketiga-tiga premis itu ditutup selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana tidak mencapai standard kebersihan yang ditetapkan.
“Sebanyak 125 notis kompaun bernilai RM21,900 telah dikeluarkan kepada pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan- Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Selain itu, lapan notis kompaun bagi kesalahan di bawah Peraturan 11 iaitu tidak mematuhi kehendak berhubung tugas am tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Menurut Zaini, sebanyak 97 kompaun turut dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Peraturan 32 iaitu berkaitan dengan pakaian pengendali makanan dan 18 kompaun atas kesalahan di bawah peraturan 33 iaitu berhubungan dengan kebersihan pengendali makanan.
Katanya, sehubungan dengan itu, Jabatan Kesihatan Kelantan sentiasa peka dan mengambil berat isu berkaitan keselamatan dan kualiti makanan di negeri ini.
Tambahnya, jabatan juga sentiasa komited dalam memastikan tahap kebersihan premis sentiasa berada dalam tahap yang memuaskan bagi memastikan makanan yang disediakan di premis makanan selamat untuk pengguna.-K! ONLINE