PARIS – Bintang remaja Poland, Iga Swiatek melakukan kejutan apabila menumbangkan pilihan utama kejohanan, Simona Halep pada Terbuka Perancis menerusi keputusan 6-1, 6-2 sekali gus melangkah ke suku akhir kejohanan Grand Slam semalam.
Halep yang melangkah ke pusingan keempat dengan rekod 17 aksi tanpa kalah pernah menewaskan Swiatek, 19, yang menghuni ranking ke-54 dengan keputusan 6-1, 6-0 dalam tempoh 45 minit di gelanggang tanah liat Roland Garros pada tahun lepas.
“Itu merupakan pengalaman pahit sebelum ini. Ia juga aksi pertama saya di stadium besar. Saya amat tertekan ketika itu.
“Sejak itu saya telah meningkat maju dalam permainan dan saya juga sudah beraksi dalam perlawanan besar sekali gus banyak membantu perkembangan saya. Sekarang saya fikir sudah mampu mengendalikan tekanan,” kata Swiatek sambil menitiskan air mata kegembiraan selepas perlawanan.
Swiatek berkata, dia sudah melakukan apa yang dikatakan oleh jurulatih terutamanya mengenai taktikal permainan dan ia sangat sempurna dengan perlawanan tersebut.
Swiatek menambah, moralnya semakin meningkat apabila mampu mengetepikan cabaran Halep yang merupakan juara Terbuka Perancis 2018 dan jaguh No. 2 dunia dalam tempoh 68 minit.
“Ia bukan bermakna saya gentar bertembung dengan Halep, namun saya amat takut jika ditewaskan dalam tempoh 45 minit pada tahun lalu. Kemenangan itu menjadi motivasi buat saya bermain dengan lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Halep tiba di Paris dengan moral tinggi susulan kemenangan pada kejohanan Terbuka Prague, Republik Czech dan Terbuka Rom, Itali sekali gus memberi peluang pemain 29 tahun itu sebagai pilihan sebagai menjulang Grand Slam.
Swiatek yang merupakan juara remaja Wimbledon akan menentang pemain kelayakan dari Itali, Martina Trevisan yang mara selepas menewaskan pilihan kelima dari Belanda, Kiki Bertens 6-4, 6-4. – AGENSI