MANCHESTER – Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho meluahkan rasa simpati selepas menyaksikan skuad kendaliannya berpesta gol meratah Manchester United 6-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Old Trafford malam kelmarin.
Meskipun United mendahului perlawanan menerusi sepakan penalti Bruno Fernandes, namun Spurs bangkit dengan enam gol hasil dua jaringan Son Heung-min dan Harry Kane selain masing-masing satu daripada Tanguy Ndombele serta Serge Aurier.
Walaupun gembira dengan kemenangan besar itu tetapi Mourinho, 57, mengakui beliau bersimpati terhadap nasib menimpa pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer yang kelihatan cukup kecewa selepas tamat perlawanan tersebut.
“Saya bersimpati dengan Ole (Solskjaer) kerana keputusan ini. Saya pernah berdepan kekalahan empat atau lima gol dan ia amat menyakitkan tetapi saya tidak ingat bila kali terakhir saya tewas dengan keputusan enam jaringan.
“Sebagai pemenang, saya perlu menunjukkan rasa simpati kepada pasukan yang tewas lebih-lebih lagi dengan keputusan seperti ini. Hari ini giliran beliau, mungkin selepas ini saya pula yang akan mengalaminya.
“Namun, saya berbangga kerana berjaya merekodkan kemenangan besar di Old Trafford kerana ia bukan sesuatu yang mudah dilakukan. Saya percaya beliau (Solskjaer) pastinya tidak boleh tidur dengan nyenyak malam ini,” katanya.
Bagaimanapun, Mourinho yang pernah mengendalikan United dari 2016 hingga 2018, percaya kekalahan memalukan itu tidak akan ‘melumpuhkan’ The Red Devils, sebaliknya boleh menjadi detik kebangkitan kelab tersebut menghadapi baki saingan musim ini. – AGENSI