Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
ALOR GAJAH – “Arwah tiba-tiba memulangkan semula rantai emas yang diberikan kepadanya empat tahun lalu, malah meminta untuk tidur bersama,” kata Khalsom Md. Ali, 58, ibu kepada mangsa kemalangan maut, Nurul Shamira Mohd. Rajuna.
Nurul Shamira, 24, dan rakan lelakinya, Fikry Effendi Ahmad Razali, 27, maut dalam kemalangan selepas kereta jenis Daihatsu Charade yang dinaiki mereka hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah kereta Proton Waja di Jalan Kemuning, Pulau Sebang semalam.
Menurut Khalsom, mangsa yang bekerja sebagai penjual produk kosmetik di Nilai pulang ke rumahnya di Kampung Air Gelugor, Tampin Sabtu lalu untuk berjumpa dengan anak lelakinya yang berusia setahun.
“Dia pulang dengan Fikry untuk membawa anak lelakinya bersiar-siar, namun tidak sangka itu adalah kali terakhir mereka dapat meluangkan masa bersama-sama,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Alor Gajah di sini semalam.
Jelasnya, kali terakhir dia menghubungi mangsa kira-kira pukul 7.30 pagi dan anaknya memaklumkan bateri kereta Fikry lemah dan perlu diganti sebelum meneruskan perjalanan ke Nilai untuk bekerja.
“Bagaimanapun, pada pukul 10 pagi, polis memaklumkan Nurul dan Fikry terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, akibat kemalangan itu, pemandu Proton Waja berusia 55 tahun mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan dihantar ke Hospital Alor Gajah.