fbpx

Polis siasat guna nama Agong sebar berita palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis membuka kertas siasatan berhubung tindakan individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita palsu menggunakan nama dan gambar Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Istana Negara melalui aplikasi WhatsApp.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung penggunaan nama Agong dan Istana Negara untuk menyebarkan maklumat tidak benar kepada pihak media.

“Pihak polis sedang giat melengkapkan kertas siasatan berhubung kes ini,” katanya ringkas kepada Kosmo! hari ini.

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Istana Negara memandang serius perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama atau membabitkan Seri Paduka dan Istana Negara untuk menyebar berita palsu sama ada bagi kepentingan politik atau peribadi.

“Tindakan yang tidak bertanggungjawab sedemikian bukan sahaja mencemarkan kredibiliti Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Istana Negara, malah boleh menimbulkan kegusaran rakyat serta menggugat ketenteraman dalam negara dari pelbagai sudut.

“Pihak istana tidak akan teragak-agak untuk melaporkan perkara itu kepada polis begitu juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi tindakan lanjut di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI