Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Pix RASUL AZLI SAMAD
ALOR GAJAH – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh rakannya pada bulan lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap AS.Sitambaradan, 28, di hadapan Majistret Nurhasmanita Abdul Manap.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa bersama dua individu lagi yang masih bebas telah mencapai niat bersama membunuh seorang lelaki, Sua Chun Chai, 31, yang juga seorang penganggur.
Tindakan itu dilakukan di hadapan sebuah bengkel kenderaan di Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Pulau Sebang di sini, antara 14 September hingga 17 September lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama kerana melakukan kesalahan membunuh dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.
Majistret Nurhasmanita kemudiannya menetapkan tarikh 16 November depan sebagai sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia kes berkenaan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SR. Arthana manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Kosmo! pada 23 September lalu melaporkan sepasukan anggota bomba yang melakukan operasi pemadaman api terkejut selepas menemui satu mayat lelaki dalam beg hitam di dalam Honda Civic Ferio di hadapan sebuah bengkel di Alor Gajah.
Beg berisi mayat itu diletakkan di kerusi penumpang belakang.
Siasatan awal mendapati kereta itu yang dipandu seorang lelaki mengalami kerosakan di Kawasan Rehat dan Rawat jejantas Ayer Keroh sebelum ditunda ke bengkel berkenaan.
Pemilik bengkel dan pekerjanya menunda kereta itu dan ditinggalkan di hadapan bengkel kerana pemandunya tidak membayar upah menunda kenderaan sebelum dilaporkan terbakar.-K!ONLINE