KUALA LUMPUR – Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) hari ini mengumumkan bahawa Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih telah mula mengoperasikan pam air mentah bagi kerja-kerja pembersihan paip air mentah dan tangki-tangki rawatan air.
Ia susulan ujian persampelan yang dijalankan di muka sauk LRA Sungai Semenyih mencatatkan bacaan 0 TON sebanyak tiga kali berturut-turut.
Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri berkata, usaha untuk merawat air mentah dan menstabilkan sistem LRA akan mengambil masa selama 12 jam sebelum bekalan air boleh diagihkan kepada para pengguna.
“Bekalan air yang diagihkan akan melalui ujian kualiti air dan pematuhan standard oleh
Kementerian Kesihatan dan jadual pemulihan bekalan air akan dimaklumkan secara berperingkat apabila proses menstabilkan rawatan air dapat dilaksanakan sepenuhnya.
“Air Selangor telah menggerakkan sebanyak 92 lori tangki air ke premis-premis kritikal, sekolah-sekolah serta kawasan perumahan yang terjejas malah sebanyak 22 tangki statik,
10 stesen pengisian setempat, 9 Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan 13 pili awam turut disediakan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Jelas Elina, maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual akan dikemaskini dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor seperti Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com. -K!ONLINE