MUNICH – Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya meledak empat gol membantu pasukannya mencatat kemenangan berharga 4-3 ke atas Hertha Berlin pada aksi Bundesliga di Allianz Arena awal pagi semalam.
Bagaimanapun, ketua jurulatih Bayern, Hansi Flick tidak gembira dengan kemenangan itu apabila mereka sekali lagi terpaksa mengharapkan sentuhan penyudah Lewandowski untuk mengelak daripada mengutip satu mata sahaja dalam aksi tersebut.
“Ini bukan satu perlawanan yang mudah dan saya cukup kecewa dengan prestasi bahagian pertahanan hari ini (awal pagi semalam). Mereka tidak bermain dengan baik hingga membenarkan pihak lawan menjaringkan tiga gol.
“Aspek positif daripada perlawanan ini adalah mentaliti tinggi ditunjukkan para pemain untuk bangkit meraih tiga mata walaupun terpaksa mengharapkan sepakan penalti pada hujung permainan,” katanya.
Juara Eropah itu berjaya menjaringkan dua gol menerusi Lewandowski (m40, m-51) sebelum Hertha bangkit menyamakan kedudukan 2-2 melalui Jhon Cordoba dan Matheus Cunha pada minit ke-60 dan 71.
Lewandowski kembali meletakkan Bayern di hadapan pada minit ke-85 sebelum Jessic Ngankam mengikat kedudukan buat Hertha berselang tiga minit kemudian.
Impian pasukan pelawat membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian apabila Lewandowski menyempurnakan sepakan penalti pada hujung perlawanan untuk meraih kemenangan 4-3 buat Bayern. – AGENSI