fbpx

K2

Lemparan disc golf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG ramai berlatih memasukkan cakera ke dalam bakul dalam permainan disc golf di Taman Tasik Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor baru-baru ini.

APABILA disebut tentang disc golf atau golf cakera, ramai tidak tahu mengenai kewujudan sukan tersebut di negara ini.

Begitu juga dengan James Lai, 45, semasa awal pembabitannya pada akhir tahun lalu.

Abangnya, Alex, 50, menjadi individu bertanggungjawab yang memperkenalkan sukan berkenaan kepadanya dan menjadikan dia kini peminat tegar disc golf.

Dia yang ditemui K2 di Taman Tasik Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor baru-baru ini berkata, sukan itu tidak banyak bezanya dengan golf, cuma yang membezakan antara
kedua-dua sukan tersebut adalah peralatan digunakan.

Katanya, berbeza dengan sukan golf, permainan itu menggunakan cakera seakan-akan cakera frisbee berbanding kayu golf, manakala bakul khas pula menggantikan lubang golf.

ALEX menunjukkan cakera-cakera ala frisbee yang digunakan dalam permainan baharu disc golf yang mengujakan.

Di Malaysia, sukan itu boleh dimainkan di padang biasa atau di taman tasik yang dilengkapi kemudahan disc golf.

“Peraturannya juga sama seperti golf. Cuma kos untuk bermain sukan tersebut jauh lebih murah berbanding golf. Ia membuatkan disc golf mesra orang ramai,” katanya.

Menurutnya, dia bersama abangnya sebelum ini perlu ke Johor Bahru untuk bermain sukan itu memandangkan negeri tersebut menjadi tapak permulaan disc golf di negara ini.

Itulah sebabnya kebanyakan padang disc golf di negara ini berada di Johor iaitu sebanyak lima buah, manakala dua di Lembah Klang.

Sekiranya mahu bermain di Lembah Klang, orang ramai juga boleh bermain di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor kerana terdapat padang khas cakera golf di sana.

“Bagaimanapun, untuk bermain di sana (Bukit Jelutong), pemain perlu membayar kadar sewa bagi setiap sesi iaitu kira-kira RM25. Setiap sesi permainan mengambil masa antara sejam 30 minit hingga dua jam.

“Lantaran itu, kami mengambil keputusan mewujudkan padang disc golf di Taman Tasik Bandar Tun Hussein Onn, menjadikan jumlah padang di Malaysia sebanyak tujuh buah.

“Mujur pihak pemaju, UDA Holdings Berhad tidak mempunyai masalah membenarkan sebahagian kawasan taman tasik itu digunakan sebagai padang disc golf,” katanya.

James berkata, buat masa ini, terdapat 12 bakul telah siap dipasang di situ sekali gus bermakna ada 12 lokasi bakul (hole dalam sukan golf) yang perlu diselesaikan bagi melengkapkan satu permainan.

JAMES (kiri) menerangkan mengenai permainan disc golf kepada beberapa individu.

Jelasnya, orang ramai dijemput untuk menyertai mereka bermain disc golf kerana ia terbuka kepada sesiapa sahaja.

“Jika anda ternampak kami di sana, jangan malu-malu. Kami akan ajar semua yang berminat tentang sukan itu.

“Jangan bimbang tentang bayaran kerana tiada sebarang kos dikenakan. Ia percuma. Orang ramai juga boleh melayari laman Facebook Disc Golf Malaysia untuk maklumat lanjut,” ujarnya.

Untuk bermain disc golf, terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian. Cara bermain dan peraturan disc golf secara umumnya sama seperti peraturan sukan golf.

Setiap kali pemain melempar cakera, itu dikira sebagai satu balingan (stroke). Pemain perlu menyelesaikan satu sesi (hole) dengan jumlah balingan yang paling sedikit menuju ke sasaran bakul.

Satu hole itu dianggap berjaya diselesaikan apabila cakera yang dilempar memasuki bakul atau tergantung pada rantai bakul tersebut.

Untuk bergelar pemenang, pemain perlu melempar cakera dalam jumlah paling sedikit bagi keseluruhan sesi.

Setiap hole dimulakan dengan balingan tee. Ia mesti disempurnakan di kawasan balingan tee bagi hole terbabit. Apabila cakera yang dilempar jatuh ke suatu kawasan, lokasi tersebut dinamakan lie. Kawasan itu kemudian ditandakan dengan cakera penanda mini atau cakera yang dilempar tadi dibiarkan sahaja di situ bagi menunjukkan kedudukannya.

Balingan seterusnya perlu dilakukan sehinggalah sampai ke bakul. Selagi tidak memasuki bakul, pemain perlu teruskan balingan.

Jika balingan melintasi garisan sempadan (out of bounds), mereka perlu melakukan lemparan satu meter dari garisan tersebut. Kawasan out of bounds biasanya terdiri daripada tasik atau kolam, jalan-jalan raya dan sempadan kawasan taman.

NASRUL FAIZ menunjukkan kemahirannya melempar cakera sambil diperhatikan James (dua dari kanan) dan Alex (kanan) serta pemain-pemain lain yang menantikan giliran membuat balingan.

Dalam pada itu, seorang pemain disc golf, Nasrul Faiz Abu Azal, 31, tidak menyangka dia berjaya menduduki tempat kedua pada Kejohanan Disc Golf Lake Valley Kategori Beregu yang berlangsung di Bandar Tun Hussein Onn baru-baru ini.

“Saya mula mengetahui mengenai sukan ini dari laman YouTube. Dari situ, saya mempelajari lebih lanjut tentang disc golf.

“Akhirnya saya serius menceburinya dan menyertai kejohanan tersebut. Saya terkejut apabila mendapat tempat kedua kerana pengalaman ditimba masih cetek berbanding pemain lain,” katanya.

Tambahnya, orang ramai digalakkan mencuba disc golf, lebih-lebih lagi peminat sukan frisbee dan golf kerana mengandungi elemen kedua-dua sukan berkenaan.

Bagi Nurzatil Aqmar Hilmy, 29, pula, dia beralih ke sukan disc golf setelah mengalami kecederaan ketika bermain ultimate frisbee.

“Sukan ini tidak terlalu lasak, menjadikannya sesuai dimainkan oleh golongan wanita.

“Saya berharap sukan ini dapat diketengahkan pada masa hadapan dan lebih banyak kejohanan diwujudkan di negara ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI