KESETIAAN aktres popular Moon Geun-young terhadap agensinya, Namoo Actors selama 16 tahun akhirnya terlerai apabila dia mengambil keputusan keluar daripada syarikat berkenaan.
Pada 30 September lalu, Namoo Actors menerusi satu kenyataan ringkas memberitahu, mereka berlapang dada untuk melepaskan aktres itu membawa haluan sendiri. Namoo Actors bagaimanapun akan tetap menyokong karier Geun-young sebagai peminat dan keluarga.
Pada hari sama, Geun-young juga tampil menulis surat terbuka kepada peminatnya dan berharap mereka tidak bimbang dengan keadaan dirinya kini.
“Maafkan saya dengan berita mengejut ini. Saya ambil keputusan ini untuk memulakan perkara baharu dalam hidup saya sebagai seorang artis dan manusia biasa.
“Saya mahu keluar dari zon selesa dan mencari perkara baharu untuk dijalani. Sejujurnya, saya tiada perancangan khas melainkan hanya mahu menenangkan minda. Saya mahu menjalani momen ini dengan baik dan bersyukur dengan apa yang ada dalam hidup saya,” tulisnya.
Biarpun nekad mengundurkan diri, namun aktres berusia 33 tahun itu mendedahkan, dia sebenarnya berasa bimbang dengan keputusan yang telah dilakukannya.
“Jujurnya, saya sangat takut dan bimbang dengan keputusan ini, tetapi saya hargai setiap keprihatinan dan sokongan semua.
“Saya akan berusaha untuk belajar perkara baharu dan memperbaiki kelemahan diri. Saya juga berharap anda semua sentiasa sihat, bebas memburu impian dan kekal bahagia,” katanya.