ZARAGOZA, Sepanyol – Bekas bintang Manchester United, Shinji Kagawa kini menjadi ejen bebas selepas meninggalkan kelab divisyen dua Sepanyol, Real Zaragoza.
Pemain tengah Jepun berusia 31 tahun itu dan Zaragoza telah mencapai persetujuan bersama untuk membatalkan kontraknya walaupun baru menandatangani perjanjian lanjutan selama dua musim pada tahun lalu.
“Secara jujur, ini bukanlah sesuatu yang saya mahukan. Saya juga kecewa kerana secara tiba-tiba terpaksa meninggalkan pasukan ini.
“Mulai saat ini, saya perlu memikirkan keputusan yang terbaik demi masa depan saya,” kata Kagawa yang telah membuat 31 penampilan sejak menyertai Zaragoza pada Ogos tahun lalu.
Kagawa adalah salah seorang pemain tengah berpengaruh yang mula mencipta nama bersama Borussia Dortmund sehingga menyaksikan United menyambar khidmatnya selama dua musim dengan nilai £12 juta (RM64.63 juta) dari 2012 hingga 2014.
Bekas produk Cerezo Osaka itu kemudiannya kembali menyertai Dortmund sebelum beberapa siri kecederaan dan kecenderungan Lucien Favre menggunakan Marco Reus memaksa Kagawa dipinjamkan kepada gergasi Turki, Besiktas.
Selepas menamatkan kontraknya dengan Zaragoza, Kagawa dipercayai masih mahu berada di Sepanyol dan mungkin menyertai satu lagi kelab divisyen dua negara berkenaan iaitu CE Sabadell secara percuma. – AGENSI