fbpx

Jadilah manusia yang ada harga diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN - AFP
EDDY HAMIDI, WARTAWAN EKSEKUTIF

Harga diri setiap manusia yang hidup di dunia ini menjadi penentu hala tuju individu tersebut dalam setiap tindakan serta keputusan yang dibuat.

Terdapat beberapa ciri yang boleh dijadikan indikator kepada nilai harga diri seseorang seperti akhlak pergaulan, ilmu pengetahuan, kesabaran dan pelbagai lagi ciri yang melambangkan personaliti individu.

Namun, bagi penulis, selain akhlak serta apa yang telah di­nyatakan di atas, ciri lain yang perlu diberi keutamaan dalam menentukan harga diri seseorang adalah sifat kebertanggung­jawaban atau lebih mudah di­fahami sebagai akauntabiliti.

Akauntabiliti menurut Dewan Bahasa dan Pustaka menerusi Kamus Pelajar Edisi Kedua bermaksud sifat bertanggungjawab terhadap seseorang atau sesuatu keputusan serta bersedia memberikan penjelasan atau kewajaran yang diperlukan.

Mempunyai kesedaran untuk menjadi individu yang bertanggungjawab serta bersifat akaun­tabiliti adalah amat penting ter­utamanya pada masa kini di mana konsep moral membawa definisi berbeza bagi setiap individu.

Tanpa akauntabiliti, manusia akan hidup di dalam dunia yang mana semua individu saling menunding jari meletakkan kesa­lahan pada orang lain.

Sebagai contoh, baru-baru ini dunia dikejutkan dengan insiden letupan besar di Beirut pada 4 Ogos lalu yang mengakibatkan lebih 200 individu maut serta ribuan yang lain cedera dan tidak lama kemudian, Perdana Menterinya, Hassan Diab, 61, mengumumkan peletakan jawatan.

Walaupun tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan tragedi letupan tersebut, Diab mengambil langkah bertanggungjawab melepaskan jawatannya itu sekali gus mengakui kegagalannya sebagai pemimpin.

Pakar Isu Sosial, Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, akauntabiliti meru­pakan satu daripada tiga sifat yang perlu ada pada setiap individu bagi membentuk harga diri.

“Selain akauntabiliti, seseorang yang mempunyai harga diri juga seharusnya mempunyai sifat-sifat lain seperti berintegriti serta berkredibiliti yang diamalkan dalam kehidupan seharian sama ada di tempat kerja, dalam pergaulan bersama rakan serta bersama keluarga.

“Sebagai contoh, seorang pekerja yang mempunyai harga diri akan memastikan dia tahu apa yang dilakukan, menjalankan tanggungjawab yang diberikan serta menepati masa bekerja,” katanya ketika dihubungi.

Mohammad Shatar yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, sering kali kita lihat seseorang itu ‘menjual’ diri sendiri dengan menceritakan kemampuannya melakukan sesuatu, menjanjikan bulan dan bintang, namun me­lakukan sebaliknya.

“Tidak perlu semua itu kerana lambang harga diri sebenar adalah melakukan apa yang perlu kita lakukan dengan penuh integriti, kredibiliti serta kebertanggungjawaban (akauntabiliti) secara berterusan sehingga ia membentuk keperibadian kita.

“Jika tiada ketiga-tiga perkara ini, maka apa yang keluar dari mulutnya hanyalah ibarat tin kosong dan sukar untuk sesebuah organisasi atau individu mele­takkan kepercayaan kepada individu tersebut,” ujar beliau.

Akhir kata, ingin penulis me­ngajak pembaca melihat kembali diri sendiri dan menilai semula individu seperti apakah yang kita mahu dikenali, tin kosong atau manusia yang ada harga diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI