Oleh MOHAMAD FAHD RAHMAT
KLUANG – Seorang wanita maut manakala suaminya patah bahu kanan selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh khinzir dalam kemalangan di Jalan Padang Tembak di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, Ruzita Kadiron, 43, meninggal dunia di tempat kejadian manakala suaminya, Mazlan Md. Noh, 45, patah bahu.
Menurut Mazlan, ketika kejadian mereka dalam perjalanan ke Batu 4 di sini untuk membeli barangan keperluan dapur.
“Saya terbabit kemalangan kira kira 8.30 malam. Sebaik melalui satu bukit kecil dan melepaskan minyak tetapi tidak semena-mena saya dirempuh binatang berkenaan dari sisi.
“Saya langsung tak perasan kelibat binatang itu. Akibat kejadian saya terjatuh dan terduduk di situ serta melihat binatang itu menggelupur di tepi jalan.
“Ada orang dari kedai berhampiran segera datang membantu dan sebaik ambulans tiba saya terus dibawa menaikinya dan dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom Kluang,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Felda Kahang Barat di sini hari ini.
Mazlan yang bekerja sebagai mekanik bengkel di sebuah kilang berkata, tidak menyangka kemalangan itu meragut nyawa isterinya yang juga suri rumah sepenuh masa.
Katanya, isterinya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap menjelang saat akhir hidupnya dan dia redha dengan ketentuan walaupun ralat tidak dapat turut sama solat dan mengebumikan isterinya itu.-K! ONLINE.