fbpx

Ibu bapa lega anak di asrama dibenarkan pulang ke rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelajar sekolah asrama dan kolej vokasional di bawah Kementerian Pendidikan dibenarkan pulang bermalam di rumah mulai Jumaat ini. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua murid di sekolah asrama dan kolej vokasional Kementerian Pendidi­kan dibenarkan pulang bermalam pada hujung minggu atau cuti umum mulai Jumaat ini.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, bagaimanapun kebenaran itu tertakluk kepada kekerapan sekali sahaja dalam tempoh antara empat hingga enam minggu dan perlu mengikut jadual serta mematuhi peraturan ditetapkan sekolah atau kolej vokasional berkenaan.

“Mulai 9 Oktober, ibu bapa serta waris juga dibenarkan memasuki premis sekolah dan kolej vokasional pada hujung minggu dan cuti umum untuk bertemu murid bagaimanapun tertakluk kepada prosedur operasi stan­dard (SOP) yang ditetapkan,” katanya di sini semalam.

Bagaimanapun katanya, kebenaran itu tidak terpakai untuk murid yang ingin pulang bermalam di rumah mereka yang berada dalam kawasan zon merah.

“Ibu bapa serta waris yang berada dalam zon merah juga tidak dibenarkan untuk bertemu murid di asrama sekolah atau kolej vokasional.

“Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam norma baharu yang telah dikemas kini boleh diakses di portal rasmi KPM, www.moe.gov.my,” ujarnya.

Dalam pada itu, ibu bapa menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan yang membenarkan pelajar pulang ke rumah kerana dapat melepaskan rindu dan meluangkan masa bersama keluarga.

Seorang pekerja swasta, Syaiful Arief Syah Mohamad Said, 38, bapa kepada pelajar Sekolah Menengah Sains Alam Shah (SMAS), Mohd Haikal, 15, berkata, keputusan berkenaan sememangnya ditunggu-tunggu dia dan isteri yang telah lama tidak dapat meluangkan masa dengan anak mereka.

Sementara itu, ibu kepada pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong, Muhammad Haiqal Yamani Mohd. Hasni, 13, Siti Hasmah Ahmad, 39, berkata, kebenaran tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya mereka sekeluarga disamping memastikan keselamatan dan kesihatannya anaknya terjaga.

“Ibu bapa, guru dan pelajar juga perlu memberikan kerjasama bagi memastikan kebenaran pulang ke rumah berjalan de­ngan lancar, “ jelasnya.

Pekerja swasta, Zainul Abidin Sani Ahmad, 40, berkata, kebenaran ini secara tidak langsung dapat mengurangkan rasa bimbang terhadap keselamatan anaknya, Qurratulain, 15, pelajar Sekolah

Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“Sekurang-kurangnya bila anak berada di rumah, kesihatan mereka dapat dipantau,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI