KAJANG – Duit simpanan dan hasil pinjaman peribadi seorang guru wanita berjumlah RM1.13 juta lebur ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis.
Mangsa berusia 49 tahun itu diperdaya dengan satu panggilan telefon minggu lepas kononnya terlibat dalam kemalangan dan pengubahan wang haram.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa semalam membabitkan kerugian berjumlah RM1,132,475.
Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa diarahkan membuka dua akaun bank baharu atas namanya selepas menerima panggilan daripada sindiket berkenaan.
“Suspek juga mengarahkan mangsa memasukkan nombor telefon suspek sebagai pemilik akaun.
“Selepas akaun itu dibuka, mangsa memindahkan duit simpanan dan wang pinjamanan peribadi ke dalam akaun itu kononnya bagi tujuan siasatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurutnya lagi, suspek hanya menyedari dirinya ditipu susulan duit dalam akaun baru yang dibuatnya itu lesap.
“Mangsa sedar duitnya hilang ketika pergi ke bank untuk buat semakan sebelum membuat laporan polis.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Zaid menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan sindiket terbabit dan tidak terpedaya dengan tipu helah mereka yang menyamar sebagai pegawai polis, pegawai bank, pegawai kastam dan sebagainya.
“Nombor telefon digunakan memang dari agensi berkaitan tetapi sindiket menggunakan teknik ‘spoofing’ untuk memperdaya mangsa.
“Kita mohon orang ramai untuk hadir ke balai polis berdekatan untuk sebarang pertanyaan atau keraguan sekiranya menerima panggilan yang meragukan,” katanya. – K! ONLINE