Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
KUALA SELANGOR – Bagaikan aksi dokumentari apabila dua ekor ular ditemukan bergelut sesama sendiri di dalam longkang kawasan asrama perempuan Universiti Selangor (Unisel), Bestari Jaya di sini, pagi tadi.
Kejadian itu disedari seorang pengawal keselamatan berusia 43 tahun kira-kira pukul 8.15 pagi yang terkejut melihat aksi ular tedung selar dan sawa tersebut ketika membuat rondaan.
Pegawai Pasukan Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Selangor, Leftenan Muda (PA) Suzaini Sulaiman berkata, beliau dan dua anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada pukul 8.19 pagi.
Katanya, dua ular itu bergelut di dalam kawasan longkang yang tidak mempunyai air.
“Alat penjerut dan penyepit khas digunakan bagi memisahkan kedua-dua reptilia tersebut sebelum ditangkap dalam operasi selama 14 minit.
“Ular sawa itu dianggarkan seberat empat kilogram (kg) dan sepanjang dua meter, manakala ular tedung pula lima kg serta tiga meter,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Beliau menambah, kedua-dua ular itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
Jelas Suzaini, dua spesis ular itu sememangnya menjadi ‘musuh’ semula jadi dan akan bergelut sekiranya bertemu sesama sendiri.-K!ONLINE