KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa Panglima Angkatan Tentera sedang menjalani proses kuarantin kendiri selepas menghadiri majlis yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini adalah tidak benar.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui laman Twitternya hari ini menegaskan, Jeneral Tan Sri Affendi Buang tidak hadir semasa Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Covid-19 pada 3 Oktober lalu di Putrajaya.
“ATM menjelaskan bahawa Panglima Angkatan Tentera tidak hadir semasa Mesyuarat Khas MKN-Covid-19 pada 3 Oktober lalu di Putrajaya yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
“Sebarang spekulasi yang mengaitkan beliau kini menjalani proses kuarantin kendiri adalah tidak benar sama sekali,” ciapnya. – K! ONLINE