fbpx

Bot kargo dikemudi nakhoda tiada lesen ditahan APMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bot kargo yang ditahan APMM di 0.1 batu nautika dari barat Tanjung Batu Putih dekat Lumut semalam selepas nakhodanya tidak mempunyai lesen.

Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot kargo selepas nakhoda yang mengemudinya didapati tidak mempunyai lesen.

Bot tersebut ditahan ketika berada di kedudukan kira-kira 0.1 batu nautika dari Barat Tanjung Batu Putih dekat sini lebih kurang pukul 2.30 petang semalam.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, tangkapan tersebut dilakukan oleh bot peronda Maritim ketika melakukan rondaan dan penguatkuasaan di perairan negara ini.

“Ketika pemeriksaan dilakukan di bot berkenaan, didapati nama nakhoda tidak sama seperti yang tercatat pada lesen kapal itu,” dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Oleh itu, katanya, bot tersebut telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu nakhoda tidak mempunyai lesen.

“Bot kargo bersama nakhoda dan tiga kru warga tempatan berusia antara 45 hingga 62 tahun kemudiannya diiring masuk ke jeti Pusat Tahanan Vesel di Kampung Acheh, Sitiawan pada pukul 4.45 petang untuk siasatan lanjut,” katanya.

Shahrizan berkata, ketika ditahan bot tersebut membawa muatan ikan baja dan dalam perjalanan dari Pulau Pangkor ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Acheh.

Beliau juga berkata, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan memperkukuh sempadan perairan negara khususnya melalui Op Benteng Laut di bawah National Task Force (NTF) dalam mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan.

Ujarnya, orang awam dan komuniti maritim perlu bertanggungjawab dan bekerjasama membanteras aktiviti jenayah, kemasukan PATI dengan menyalurkan maklumat yang membabitkan tekong, ejen serta tali barut ke talian NTF 011-6251 1123 atau talaian Pusat Operasi Maritim negeri Perak 05-6838737.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI