Oleh IVAN AMIRUL
KOTA KINABALU – Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah diminta mempercepatkan kerja pembaikan jalan raya serta jambatan yang mengalami kerosakan akibat kejadian tanah runtuh di sesetangah kawasan akibat hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya sudah meminta Pengarah JKR Sabah dan jurutera daerah untuk memantau keadaan semasa ketika ini selain mengambil tindakan ke atas semua jalan raya yang terjejas.
“Tindakan segera perlu diambil bagi memastikan perhubungan penduduk setempat tidak terganggu.
“Sekiranya jalan raya itu di bawah jagaan syarikat konsesi, mereka diminta mengambil langkah proaktif untuk membersihkan dan membaikpulih runtuhan berkenaan dengan kadar segera.
“Bagi kes jambatan runtuh seperti yang berlaku di Kampung Melangkap Kota Belud, kita juga sudah meminta pihak jurutera daerah dan Pengarah JKR meneliti kerosakan berlaku,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Dalam pada itu, Bung Moktar berkata, sekiranya jalan raya yang rosak itu melibatkan tanggungjawab jabatan, pembaikan akan terus dilaksanakan melalui peruntukan kecemasan.
“Saya sendiri akan melakukan lawatan ke beberapa tempat yang dilanda banjir untuk melihat sendiri punca berlakunya banjir kilat terbabit bagi membolehkan tindakan susulan diambil.
“Kerajaan juga akan menaiktaraf sistem perparitan sebagai antara langkah untuk mengatasi banjir kilat di beberapa tempat khususnya di sekitar Kota Kinabalu dan daerah berhampiran.
“Sistem perparitan sedia ada tidak mampu mengalirkan air dengan baik menyebabkan penempatan di kawasan tanah rendah dinaiki air.
“Banjir yang melanda ekoran hujan lebat kali ini agak luar biasa kerana selain beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu, beberapa daerah lain seperti di Kota Belud dan Tuaran turut mengalami banjir yang teruk,” katanya.
Menurut beliau, menerusi naiktaraf sistem perparitan boleh membantu mengelakkan penduduk daripada masalah banjir kilat khususnya setiap kali hujan lebat.
Tambah beliau, perbincangan bersama agensi kerajaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran serta pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dilakukan bagi menjalinkan kerjasama untuk menangani masalah banjir kilat yang sering berlaku.-K!ONLINE