PETALING JAYA – Seramai 32 tokan serta penagih dadah termasuk empat wanita ditangkap di Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Putra Damai, Lembah Subang di sini kelmarin.
Serbuan dalam Ops Sarang Khas yang bermula pukul 9 malam hingga 6 pagi itu disertai 40 pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya selepas menerima maklumat awam serta risikan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, 28 lelaki dan empat wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun dicekup kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah iaitu heroin seberat 505.42 gram, 41.14 g (syabu) dan 2.8 g (ganja) dengan rampasan keseluruhan bernilai RM21,949.
“Semakan mendapati, dua daripada suspek yang ditahan itu dalam proses tindakan untuk Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.
“Dua lagi suspek masih dalam siasatan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Nik Ezanee memberitahu, kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6, 12(2), 15(1)(a), 39A(1) dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kediaman PPR adalah satu program kerajaan untuk penempatan semula setinggan dan memenuhi keperluan tempat kediaman bagi golongan berpendapatan rendah (B40).