Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Seramai 21 orang pengamal media termasuk wakil Kosmo! dan Utusan Malaysia yang membuat liputan program membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) diminta melakukan ujian calitan di sini esok.
Difahamkan, mereka adalah kumpulan pertama yang akan menjalani ujian calitan selepas Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) selaku penganjur program mengesan semua petugas media yang terlibat pada program perasmian dan penutup Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara Tahun 2020 di Movenpick Hotel & Convention Centre, Sepang pada 29 dan 30 September lalu.
Majlis perasmiannya pada 29 September lalu itu turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Pengarah JKSM, Datuk Mohd. Na’im Mokhtar sebelum itu mengaturkan pegawainya untuk mendapatkan butiran pihak media yang hadir sebelum diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya.
Sehubungan itu, 21 nama telah disenaraikan setakat ini untuk menjalani ujian calitan esok manakala selebihnya difahamkan akan diatur pada hari-hari lain.
Pengamal media berkenaan terdiri daripada wartawan, jurugambar, juruvideo serta juruaudion yang kebanyakannya bertugas di Putrajaya selain ada sebahagiannya di sekitar Lembah Kelang.
Beberapa pengamal media yang dihubungi memaklumkan sebahagian mereka sudah mula melakukan swab test di klinik kesihatan sekitar Putrajaya sejak pagi tadi.
Arahan swab test itu dikeluarkan selepas Zulkifli disahkan positif Covid-19, semalam.
Hari ini, beberapa pengamal media di Kelantan turut menjalani ujian calitan selepas membuat liputan di program yang dihadiri Zulkifli pada 25 September lalu.-K!ONLINE