Oleh MOHD RAFIE AZIMI
SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) menutup kampus induknya di sini selama empat hari bermula tengah malam tadi bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
UUM menerusi surat pekeliling yang dikeluarkan Pendaftar universiti itu kepada kakitangan dan pelajar pada semalam memaklumkan penutupan tersebut berkuat kuasa pukul 12 tengah malam tadi hingga 8 Oktober ini.
Pekeliling berkenaan memaklumkan kakitangan tidak dibenarkan memasuki kampus induk UUM kecuali dengan kebenaran pendaftar sepanjang tempoh itu.
Para pelajar juga tidak dibenarkan memasuki kampus kecuali dengan kebenaran Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.
Surat pekeliling berkenaan juga memaklumkan semua pelajar yang berada di dalam kampus tidak dibenarkan keluar.
Semua pelajar yang berada di inapan siswa (Inasis) Yayasan Al-Bukhary (YAB) dilarang sama sekali keluar dari kawasan tersebut.
Inasis itu akan dikawal secara 24 jam oleh pihak keselamatan universiti.
Sementara itu, UUM setakat ini tidak mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung penutupan kampus induk berkenaan. – K! ONLINE