Oleh NOR SHAFAWATI YUP
PORT DICKSON – Penduduk bimbang apabila berlaku tumpahan minyak mentah yang dikesan di Kilometer 1, Jalan Seremban berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Gelam di sini sejak petang semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya telah ke tempat kejadian pada pukul 6.22 petang semalam sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati benar terdapat sumber minyak mentah daripada bawah tanah dan telah mengalir ke dalam longkang.
“Tindakan operasi adalah mendapatkan bantuan 12 unit ‘oil boom‘ daripada Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar (SJTJ) untuk mengawal pencemaran minyak dari mengalir ke laut. Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga telah dihubungi untuk tindakan selanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tinjauan dilokasi kejadian mendapati kawasan berkenaan telah dikawal oleh anggota Rela dan polis terutama bagi melancarkan keadaan trafik.
Satu pusat operasi melibatkan beberapa pihak khususnya Tenaga Nasional Berhad (TNB), JAS, Bomba telah dibuka bagi kerja-kerja mengenal pasti punca kejadian dan membersihkan kawasan tumpahan minyak.
Sementara itu, Exco Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar Negeri Sembilan, S. Veerapan berkata, orang awam telah memaklumkan tentang tumpahan minyak itu kira-kira pukul 2 petang semalam.
“Pihak TNB telah tiba awal di lokasi kejadian diikuti dengan pihak bomba.
“Sebagai langkah awal pihak TNB telah memasang ‘oil boom’ di beberapa lokasi bagi mengawal daripada minyak terus mengalir masuk ke laut,” katanya.
Tambah beliau, pihak JAS telah mengambil sampel minyak di lokasi dan siasatan lanjut masih dijalankan. -K! ONLINE