KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 tidak menjejaskan operasi Lembaga Tabung Haji (TH), malah badan pengurusan haji itu merekodkan tambahan deposit kira-kira RM5 bilion sejak tercetusnya wabak tersebut di negara ini sejak Februari lalu.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff berkata, jumlah tersebut menjadikan deposit TH mencecah RM75 bilion buat masa ini.
“Ia memberi gambaran keyakinan pendeposit kepada kami.
“Secara amnya, pendeposit tidak berdepan masalah semasa operasi ditutup (ketika tempoh perintah kawalan pergerakan), cuma terdapat segelintir yang memerlukan perhatian kami seperti yang melibatkan urusan haji,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran aplikasi THiJARI di Menara TH di sini semalam.
Aplikasi berkenaan yang boleh dimuat turun secara percuma membolehkan pendeposit TH membuat urusan pertanyaan baki, cetak penyata, pemindahan wang, semak status haji dan pendaftaran haji.
Ia turut menyokong penggunaan cap jari dan imbasan wajah untuk memberikan capaian yang mudah serta selamat.
Nik Mohd. Hasyudeen menjelaskan, 78 peratus daripada transaksi TH kini dilakukan secara online termasuk menerusi portal THiJARI, mesin ATM dan perbankan internet rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB Islamik.
Selain itu, baki 22 peratus transaksi lagi masih dilakukan menerusi kaunter.
Jelasnya, penggunaan saluran online dilihat memenuhi cita rasa pendeposit TH menuju ke hadapan dengan kira-kira 45 peratus pendeposit terdiri daripada golongan muda yang berusia 35 tahun ke bawah.
“Sejak pengenalan portal THiJARI pada Februari lalu, sebanyak 300,000 pendeposit TH telah berdaftar di platform ini.
“Menerusi pelancaran aplikasi mudah alih ini, kami menjangkakan jumlah tersebut akan bertambah kepada 500,000 orang menjelang akhir tahun,” katanya.