KUALA LUMPUR – Naib juara Big Stage musim ketiga (BS2020), Usop memohon secara terbuka lantaran kata-kata yang dilemparkan kepada Sherry al-Hadad pada konsert akhir program realiti nyanyian berkenaan, malam tadi.
Menurut Usop atau nama penuhnya Muhammad Saiful Naim Muhammad Noor, 22, dia tidak mempunyai niat untuk menghina saiz tubuh badan pengacara BS2020 itu.
“Saya mengaku salah kerana mengatakan perkara begitu terhadap Sherry. Niat saya hanya bergurau tetapi disalah tafsir oleh banyak pihak.
“Saya mohon maaf kepada semua pihak sekiranya terasa dengan kenyataan saya itu dan berjanji akan lebih berhati-hati selepas ini,” ujarnya pada sidang akhbar selepas konsert akhir BS2020 malam tadi.
Tambah Usop, dia juga melahirkan rasa kecewa kerana setiap patah perkataan yang dilontarkan pasti akan disalah erti oleh netizen.
“Saya sedih juga kerana setiap apa yang saya katakan menjadi perhatian ramai tetapi sebenarnya saya juga mangsa body shaming netizen di luar sana.
“Sebenarnya saya juga sering dikutuk kerana rupa paras tidak kacak dan gigi tidak cantik tapi saya terima sahaja semua itu sebab ini merupakan ciptaan Allah SWT,” katanya.
Ujarnya, dia berharap agar netizen di luar sana juga sedar mereka juga merupakan salah seorang yang suka melakukan perkara sebegitu.
“Harap mereka juga sedar kesilapan mereka. Saya sudah mengaku salah dan harap perkara ini tidak diperbesarkan lagi,” tuturnya.
Pada pentas akhir BS2020 malam tadi, Usop dikatakan melemparkan kata-kata berbaur body shaming kepada Sherry sehingga mencetuskan kemarahan netizen.
Usai mendendangkan lagu Arjuna, Usop mendapat kritikan kurang memberi penghayatan daripada juri tetap, Misha Omar kerana ketiadaan kelibat wanita di atas pentas.
“Gaya nyanyi macam itu sesuai dengan orang badan besar,” ujar Usop spontan merujuk kepada Sherry.
Ekoran itu, rata-rata netizen tidak berpuas hati dengan sikap pelantun lagu Selamanya itu kerana memandang rendah terhadap wanita bersaiz besar.
Sejurus selepas persembahan kedua semalam, Usop juga memohon maaf secara terbuka kepada Sherry atas ketelanjuran kata-katanya.
Tidak terhenti di situ, Usop menerusi Twitternya turut meluahkan kekesalan atas perbuatan tidak sengaja yang mencetuskan kemarahan ramai.
“Ya Allah, saya minta maaf. Tak sengaja. Astaghfirullahalazim Astaghfirullahalazim Astaghfirullahalazim. Minta ampun,” ciap Usop melalui Twitter miliknya.
Penyanyi kelahiran Kulim, Kedah itu turut berkongsi sekeping foto bersama Sherry dalam laman sosial berkenaan dengan kapsyen: “Sayang Kak Sherry. Usop minta maaf okey.”
– K! ONLINE