BERLIN – Penyerang sensasi Borussia Dortmund, Erling Braut Haaland mempamerkan ketajamannya apabila berjaya meledak dua gol membantu pasukannya membelasah SC Freiburg 4-0 dalam saingan Bundesliga di Signal Iduna Park kelmarin.
Bintang Norway berusia 20 tahun itu membuka tirai jaringan dalam separuh masa pertama sebelum menambah koleksi gol kedua peribadi pada minit ke-66.
Dua lagi gol Dortmund dalam perlawanan itu dijaringkan oleh Emre Can pada minit ke-47 sebelum Felix Passlack menambah derita Freiburg dengan jaringan keempat pasukan dalam masa kecederaan permainan.
“Haaland seorang penyerang yang menakjubkan kerana dia tahu apa perlu dilakukan apabila bola berada di kakinya. Kemenangan ini adalah permulaan yang sangat baik buat Dortmund.
“Lebih manis apabila dua jaringannya itu berjaya membantu pasukan meraih kemenangan. Secara peribadi, saya berpuas hati dengan keputusan yang diraih hari ini (kelmarin),” kata ketua pasukan Dortmund, Marco Reus.
Kejayaan tersebut menyaksikan skuad kendalian Lucien Favre itu berjaya melonjak ke tangga ketiga Bundesliga dan kembali ke landasan kemenangan selepas tewas mengejut 0-2 kepada Ausgburg bulan lalu.
Ia juga secara tidak langsung mengubati kekecewaan Dortmund selepas berputih mata untuk menjulang kejuaraan Piala Super Jerman ekoran kekalahan tipis 2-3 kepada juara Eropah, Bayern Munich pada Khamis lalu. – AGENSI