Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
SKUAD Helang Merah tidak ada pilihan lain untuk tugasan menjaga gawang selain bergantung harap kepada penjaga gol muda, Muhammad Azri Abd. Ghani pada aksi Liga Super menentang Melaka United di Stadium Kuala Lumpur, Cheras malam ini.
Ini gara-gara penjaga gol utama Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim dan Mohd. Shahril Saa’ri belum pulih daripada kecederaan yang mereka alami sebelum ini.
Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, beliau bagaimanapun tidak ragu-ragu dengan kemampuan bekas penjaga gol Felda United berusia 20 tahun itu bagi menjalankan tugas mencabar.
“Ifwat tampak belum pulih daripada kecederaan akibat terlanggar tiang gol dalam pertemuan dengan Felda United sebelum ini manakala Mohd. Shahril pula berdepan kecederaan otot.
“Kedua-duanya memang tidak boleh diturunkan tetapi saya memiliki keyakinan terhadap keupayaan Muhammad Azri,” katanya ketika dihubungi di Alor Setar semalam.
Ketika ini, Kedah berdepan misi getir untuk mengutip enam mata penuh dalam dua perlawanan terakhir bagi memastikan mereka layak menduduki tempat kedua, seterusnya dapat beraksi dalam Piala AFC musim depan.
Selepas bertemu Melaka, Kedah bakal bertandang ke Ipoh untuk berdepan Perak yang turut menyasarkan kedudukan sama setelah JDT dinobatkan selaku juara keseluruhan buat kali ketujuh berturut-turut kelmarin.
Ditanya keadaan motivasi pemain yang perlu berdepan empat perlawanan berturut-turut di gelanggang lawan, Aidil berkata, anak buahnya dilihat berada dalam keadaan baik.
“Mereka berada dalam keadaan baik tetapi bukan terbaik. Saya fikir semuanya berkaitan dengan psikologi masing-masing,” katanya.