KUALA LUMPUR – Tindakan pendakwah popular, Ustaz Ebit Lew memohon maaf kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berhubung isu menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada mahasiswa yang terkandas mendapat pujian daripada netizen.
Rata-rata netizen merasakan keputusan yang dibuat Ebit Lew dengan memohon maaf kepada pihak UPSI itu sebagai satu sifat terpuji yang telah dipamerkan oleh seorang insan bergelar ustaz.
Seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Roslina Ahmad menulis, isu tersebut tidak seharusnya dipanjangkan kerana apa yang dilakukan oleh Ebit Lew adalah semata-mata untuk membantu para mahasiswa.
“Susahnya ustaz, nak berbuat baik pun salah. Kalaulah semua pihak berlapang dada, isu macam ini tidak perlu dipanjangkan. Niat utama nak membantu kan,” katanya di laman Facebook Ebit Lew semalam.
Noor Aisyah Samiun pula berkata, UPSI sepatutnya bersyukur dengan bantuan yang disediakan oleh Ebit Lew.
“Patutnya bersyukur adanya pihak cuba membantu. Jangan nak jadikan prosedur operasi standard (SOP) sebagai alasan.
“Ustaz, semoga ustaz sentiasa dalam lindungan Allah dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Menurut Nazri Shuib, Ebit Lew telah menunjukkan satu sikap terpuji apabila tenang meminta maaf kepada UPSI.
“Steady sahaja UEL (Ustaz Ebit Lew) mohon maaf. Janji UEL tetap nak tolong. Sepatutnya dah ada yang nak tolong, pihak Majlis Perwakilan Pelajar permudahkanlah lagi.
“Tolong perkemaskan SOP untuk UEL, bekerjasama untuk menjadi lebih baik kan mudah,” katanya.
Sementara itu, Kamarulzaman Isa pula mencadangkan agar Ebit Lew memberikan bantuan wang tunai kepada semua pelajar yang ingin pulang ke kampung.
“Rasanya tiada SOP untuk bagi wang tunai. Sebab kita nak tolong ringankan beban UPSI, dia pula sombong,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Asmina Mohd. Rashid berkata, Ebit Lew seharusnya mematuhi SOP dan meminta kebenaran UPSI, Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Keselamatan Negara sebelum menghulurkan bantuan.
“Nanti terjadi apa-apa, satu negara susah. Lepas itu semua sibuk menuding jari,” katanya.-K! ONLINE
Artikel berkaitan : Ustaz Ebit Lew minta maaf pada UPSI
Artikel berkaitan : Ebit Lew perlu ikut prosedur hantar pulang pelajar