Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
KUALA LUMPUR – Prosiding pengurusan kes rasuah dan pengubahan wang haram 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sepatutnya berjalan hari ini, ditangguhkan apabila Najib perlu menjalani kuarantin selepas pulang dari Sabah.
Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib apabila menyatakan anak guamnya perlu mengikut Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selama 14 hari bermula 28 September hingga 12 Oktober ini.
“Ketika saya bertanya adakah beliau terdedah dia (Najib) memberitahu Ya, tetapi beliau tidak tahu sejauh mana beliau terlibat dengan individu yang dijangkiti penyakit berkenaan,” katanya ketika pengurusan kes hari ini.
Muhammad Shafee berkata, Najib menjalani ujian Covid-19 pada 22 September lalu di Sabah dan sekali lagi menjalani ujian sama pada 27 September, sejurus tiba di Kuala Lumpur. Bagaimanapun kedua-dua keputusan itu negatif.
Tambah beliau, meskipun keputusan negatif, Najib tetap perlu menjalani kuarantin selama dua minggu dengan mengambil kira kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Berdasarkan kebimbangan mengenai isu berkenaan, selain menjalani HSO, beliau berkata, Najib juga perlu mengikuti program peningkatan tahap imun.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustapa P. Kunyalam berkata, pihak pendakwaan menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan perkara berkenaan.
Justeru, mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk melapangkan pengurusan kes sehingga 19 Oktober ini.
Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di tempat sama.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama. -K!ONLINE