LONDON – Presiden Honda, Takahiro Hachigo memberi jaminan perlumbaan lain seperti Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) mahupun Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) tidak akan terjejas susulan penarikan diri pengeluar enjin Jepun itu daripada saingan Formula Satu (F1).
Semalam, kecoh apabila pengeluar kenderaan gergasi Jepun itu mengumumkan untuk meninggalkan kancah perlumbaan F1 pada akhir musim 2021 bersama pasukan Red Bull.
Tindakan mengejut itu menimbulkan spekulasi bahawa Honda turut membuat keputusan sama untuk menarik diri dalam kejohanan sukan permotoran lain.
Ketika ini, Honda tampil cemerlang dalam saingan MotoGP menerusi Marc Marquez dan turut melakukan beberapa projek baharu dalam saingan WSBK.
“Perlumbaan memang ada dalam DNA Honda dan buat masa ini perlumbaan-perlumbaan lain tetap diteruskan seperti biasa,” kata Hachigo.
Honda telah menandatangani kontrak baharu dengan Marquez hingga 2024. Pol Espargaro dan Alex Marquez turut kekal sehingga musim 2022.
Dalam pada itu, Honda masih memperbaharui kontrak dengan Dorna untuk meneruskan perlumbaan MotoGP sehingga 2022 hingga 2026. – AGENSI