fbpx

K2

Mengesan kebocoran gas di pelantar minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMERA ini boleh mengesan kebocoran gas pada paip sama ada di pelantar minyak atau kawasan industri.

Oleh ZAKI SALLEH

MASIH ingatkah anda dengan peristiwa Deepwater Horizon di Amerika Syarikat (AS) pada 20 April 2010 yang mengorbankan 11 nyawa dan mencederakan 17 pekerja lain?

Kemalangan terbabit dikatakan berpunca daripada kebocoran paip minyak pada kedalaman 1,500 meter di bawah paras laut semasa kerja-kerja cari gali minyak dilakukan. Ini merupakan insiden tumpahan minyak paling buruk dalam sejarah AS.

Kira-kira 790,000 sehingga 4,000,000 liter minyak mentah melimpah keluar setiap hari dan menjejaskan industri perikanan, pelancongan serta habitat ratusan jenis burung di Teluk Mexico.

Terbaharu, kajian pakar mendapati, kesan toksik akibat kejadian tumpahan minyak itu adalah lebih buruk berdasarkan simulasi komputer berbanding rakaman imej satelit yang diperoleh.

Di Malaysia, kemalangan di pelantar minyak pernah berlaku iaitu di pelantar Bekok C, Terengganu pada tahun 2010. Seramai enam orang cedera dalam kejadian terbabit, manakala 102 kakitangan pelantar milik Petronas Carigali Sdn. Bhd. dipindahkan ke pelantar berhampiran.

Dalam kejadian pada pukul 12.05 tengah malam itu, seramai 108 pekerja berada di pelantar itu tetapi hanya enam orang yang mengalami kecederaan. Kebakaran dipercayai berpunca daripada paip gas bocor.

Ini bermakna, kemungkinan insiden yang sama boleh berlaku pada bila-bila masa adalah tidak mustahil. Justeru, langkah kawalan dan pencegahan perlu dilakukan dan dalam industri ini, ia adalah satu kemestian.

Dalam konteks ini, menerusi pengenalan teknologi terkini, punca kebocoran dapat dikesan lebih awal dengan menggunakan kamera gas leak detection.

KEJADIAN kebakaran di pelantar minyak mungkin dapat dicegah sekiranya isu-isu keselamatan dapat dikesan lebih awal. – GAMBAR HIASAN

Di Malaysia, antara syarikat yang berpengalaman luas dan diberi tanggungjawab oleh pihak industri untuk menggalas tugas tersebut adalah Reliacraft Engineering Sdn. Bhd. yang terletak di Bangi, Selangor.

Syarikat milik Bumiputera sepenuhnya ini telah menceburi bidang keselamatan kejuruteraan dalam industri minyak dan gas sejak 12 tahun lalu dengan memiliki tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.

Menurut Pengurus Besar Reliacraft Engineering Sdn. Bhd. (Reliacraft Engineering), Wan Muzailan Wan Musa, masalah kebocoran gas sebenarnya boleh dikesan dari awal dengan teknologi terkini.

Katanya, kamera yang dinamakan Optical Gas Imaging (OGI) berupaya mengesan pelbagai saiz kebocoran daripada yang kecil hingga besar.

“Di pelantar minyak, memang terdapat alat penggera kebocoran gas. Tetapi kebocoran akan dapat dikesan pada skala tertentu sahaja. Cuba bayangkan jika terdapat kebocoran kecil dan tidak dapat dikesan untuk jangka masa lama. Sudah tentu akan mendatangkan risiko kemalangan dan kerugian kepada syarikat minyak dan gas.

“Kamera yang kami perkenalkan berfungsi untuk melihat gas yang bocor walaupun dalam kuantiti kecil. Ia boleh digunakan di laluan sempit dan dapat memeriksa keseluruhan paip hidrokarbon dalam masa singkat.

“Kalau cara lama, mereka (operator minyak dan gas) hanya menggunakan pengesan yang hanya berbunyi apabila ada kebocoran.

“Mereka tidak dapat melihat secara visual kawasan yang bocor,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Kamera buatan AS tersebut dapat memaparkan imej kebocoran gas menerusi teknologi inframerah di paparan skrin sebaik dihala ke kawasan yang bermasalah.

Kamera itu mampu mengesan sehingga jarak 1,000 meter dan bertahan selama empat jam dengan menggunakan satu bateri.

Dengan pengalaman luas lebih 12 tahun ini, Reliacraft Engineering menawarkan perkhidmatan pemeriksaan rapi ini dengan dilengkapi lima buah kamera OGI untuk menampung kehendak industri minyak dan gas.

Mengimbas

Tambah Wan Muzailan, aspek keselamatan menjadi perkara paling utama yang tidak boleh dikompromi oleh semua pekerja dan majikan di pelantar minyak.

Seiringan itu pada tahun 2014, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga menguatkuasakan akta untuk memastikan semua pemilik industri melaksanakan kerja pemeriksaan kebocoran gas.

CONTOH kamera OGI yang digunakan.

Mengulas lanjut, Wan Muzailan berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan pemain industri untuk memupuk kesedaran dalam kalangan pekerja di pelantar minyak.

“Malah, pekerja di pelantar minyak tidak akan dibenarkan bekerja di mana-mana pelantar di bawah syarikat yang sama jika mereka melanggar peraturan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan keselamatan,” ujarnya.

“Ada satu ketika, kami sendiri perlu scan (mengimbas) keseluruhan sistem paip gas sepanjang hampir 300 kilometer di sebuah lokasi bagi tujuan penyiasatan selepas berlakunya insiden tidak diingini untuk memastikan tiada lagi gas yang bocor di kawasan tersebut.

“Kita sedaya upaya cuba memastikan ada kesedaran dalam pekerja syarikat terbabit. Kini Petronas juga telah menetapkan piawaian untuk memastikan operasi syarikat minyak melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan kebocoran gas secara berkala.

“Malah, jika bercakap mengenai aspek keselamatan dan kesedaran isu ini, ada banyak industri lain yang turut menggunakan gas antaranya syarikat pembekalan kuasa, kimia atau di kilang-kilang dalam operasi harian mereka.

“Rumah dan bangunan komersial juga boleh menggunakan kamera OGI untuk mengesan kebocoran gas dalam saluran paip mereka. Kamera ini berkemampuan untuk mengesan gas yang mudah terbakar,” jelasnya.

HASIL pemantauan dapat dilihat pada paparan skrin kamera.

Sementara itu, Pengurus Projek, Muhammad Amley Muhammad Nor berkata, pihak JAS bertanggungjawab dalam soal hal kawalan dan penguatkuasaan keselamatan gas di Malaysia di kawasan darat dan laut yang membabitkan alam sekitar dan manusia.

“Untuk keselamatan berkaitan pelepasan gas, Petronas mempunyai piawaian ditetapkan untuk mengawal kebocoran dan JAS pula berperanan memantau atau ambil alih jika terdapat insiden tidak diingini atau aduan.

“Bagi pihak kami pula, dengan keupayaan dan kelengkapan dimiliki, mock up dibuat terlebih dahulu bagi mengenal pasti kawasan kerja, seterusnya memutuskan persetujuan harga dan skop servis sebelum melaksanakan kerja,” jelasnya.

Ketika ini Reliacraft Engineering mempunyai 10 orang tenaga kerja terdiri daripada pekerja mahir, separa mahir dan jurutera.

Seramai dua orang pekerja terlibat dalam satu-satu kerja pemantauan yang memakan masa beberapa hari bergantung kepada keluasan kawasan kebocoran yang dikenal pasti di pelantar minyak atau lokasi industri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI