ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memberi jaminan bekalan benih padi yang diperlukan pesawah untuk proses penanaman padi bagi kawasan seluas 100,685 hektar di kawasan Muda bagi musim 2/2020 bermula bulan lalu adalah mencukupi.
Pengerusinya, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, tiga pengeluar utama berupaya membekalkan sebanyak 14,517 metrik tan benih padi sah dan jumlah itu melebihi keperluan bagi kegunaan musim ini iaitu sebanyak 14,096 metrik tan.
“Kita telah mengarahkan semua Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA membuat pesanan awal stok benih padi sah daripada pengeluar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, PPK MADA telah membuat pesanan sebanyak 2,452.86 metrik tan benih padi sah atau 17.4 peratus daripada keperluan di kawasan Muda.
“Majoriti daripada pesanan yang dibuat oleh PPK MADA adalah daripada MADACorp manakala bakinya daripada pengeluar lain.
“PPK MADA pada setiap musim akan sentiasa cuba meningkatkan pesanan stok benih padi sah, namun pengeluar mengutamakan edaran kepada ejen lantikan mereka,” ujarnya.
Menurutnya, pegawai MADA di lapangan akan mengadakan kempen secara berterusan termasuk mengenai penggunaan benih padi sah termasuk pengesyoran penggunaan varieti tempatan selain MR 297 yang berhasil tinggi.
Ahmad Tarmizi pada masa sama menggesa pengeluar padi menjalankan tanggungjawab dengan memastikan peladang mendapat bekalan benih padi sah pada harga munasabah selain mengutamakan PPK MADA sebagai pengedar.
“Kita juga menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan supaya mengambil tindakan keras kepada pengeluar benih padi sah yang gagal memenuhi kontrak serta kepada ejen yang memanipulasi harga,” tambahnya. – K! ONLINE