fbpx

Keputusan 11 saksi bicara tertutup Hasanah esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasanah (dua dari kiri) berbincang dengan salah seorang peguamnya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan esok keputusan permohonan pendakwaan bagi 11 saksi kes bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid, yang menghadapi pertuduhan pecah amanah didengar secara tertutup.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh menetapkan tarikh esok itu selepas selesai mendengar hujah kedua-dua belah pihak.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad ketika berhujah berkata, pihak pendakwaan memohon 11 orang saksi itu dibicarakan secara tertutup (in-camera) kerana ia melibatkan keselamatan negara.

“Semasa perbicaraan 11 saksi itu akan mendedahkan perisikan hubungan negara manakah yang kita rapat, jadi ia akan memberi impak besar terhadap hubungan diplomatik jika dibicarakan secara terbuka, ” katanya.

Ujar Muhammad Iskandar sekiranya identiti 11 saksi itu didedahkan ia boleh mengancam keselamatan mereka selain menjejaskan keupayaan dalam menjalankan tugas-tugas.

Sementara itu peguam Hamdan Hamzah yang mewakili Hasanah berkata, pihaknya membantah permohonan itu dengan berhujah bahawa tidak ada bukti yang cukup dikemukakan pihak pendakwaan untuk mengatakan bahawa keselamatan negara tergugat oleh keterangan yang disampaikan oleh saksi.

“Dalam afidavit mereka, pihak pendakwaan berpendapat bahawa hubungan luar negeri dengan negara lain akan terancam jika perbicaraan ini diadakan di pengadilan terbuka.
Namun kami berpendapat tidak ada bukti bahawa kesaksian akan dimanipulasi kerana keterangan afidavit mengenai hubungan luar adalah spekulasi,” katanya.

Pada 25 Oktober 2018 Hasanah, 61, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan pecah amanah wang bernilai RM50.4 juta April lalu.

Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri didalam kapasiti tersebut yang diamanahkan wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50. 4 juta) milik kerajaan Malaysia telah melakukan pecah amanah terhadap wang itu.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 30 April hingga 9 Mei 2018.

Berikutan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. –K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI