fbpx

Juang, perang mental pejuang Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN penerbit, pengarah dan pelakon yang terbabit dalam penghasilan filem Juang. – FARIZ RUSADIO

MEMBACA judulnya sahaja, Juang sudah membayangkan sebuah karya yang sarat emosi, drama dan perjuangan.

Itu belum lagi visualnya kelak me­nyaksikan lakonan hebat barisan pelakon mantap seperti Zul Ariffin dan Zizan Razak.

Seperkara lagi yang pantas mengangkat Juang sebelum karya berkenaan masuk panggung ialah senarai enam nama besar yang diumumkan sebagai tangan-tangan sutradaranya.

Untuk sebuah filem tempatan, jarang ada buah tangan berbentuk diarahkan oleh enam orang pengarah.

Enam pengarah tersebut ialah Erma Fatima, Aziz M Osman, Yusri Abd. Halim, Kabir Bhatia, Osman Alia dan Matt Lai.

Gabungan tersebut berpaksikan matlamat untuk menghasilkan sebuah karya bertaraf mega berkisarkan pandemik Covid-19 yang menjadi polemik kesihatan sejagat.

Juang yang diusahakan tiga rumah produksi, Asia Tropical Films, The Film Engine dan Suhan Movies Trading Sdn. Bhd., itu juga dianggap sebagai apresiasi seluruh rakyat Malaysia apabila fokus penceritaannya kelak, berkisarkan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus demi kesejahteraan negara.

ROSYAM berharap gabungan tiga penerbit bersama enam pengarah menerusi filem Juang akan memberi impak mega terhadap karya berkenaan.

Secara terperincinya, Juang merupakan gabungan idea tiga penerbit iaitu Datuk Rosyam Noor, Matt Lai dan Jack Lim.

Menurut Rosyam Nor, nama filem berkenaan diambil daripada perkataan ‘pejuang’ yang memaparkan komitmen dan pengorbanan petugas barisan hadapan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Filem ini akan menelan belanja sebanyak RM6 juta dan idea menghasilkan Juang tercetus ketika tiga bulan terkurung akibat PKP beberapa bulan lalu.

“Penggambaran dijangka akan dilakukan secepat mungkin kerana kami mensasarkan untuk menayangkan cerita ini pada awal atau selewat-lewatnya pertengahan tahun depan,” katanya kepada HibGlam selepas majlis pelancaran filem Juang baru-baru ini.

Pengarah

Tambah Rosyam, enam pengarah yang dipilih berdasarkan rekod cemerlang dalam industri perfileman.

“Kami bertemu ramai pengarah bagi merealisasikan filem ini. Kami melihat siapa yang sudi bekerjasama selepas membentangkan idea. Jadi keenam-enam mereka itulah yang menyahut cabaran ini.

“Saya sentiasa percaya, kita memerlukan seseorang yang matang untuk menghasilkan karya yang boleh meruntun jiwa para penonton,” ujarnya lagi.

Rosyam bagaimanapun, enggan mendedahkan peranan setiap pengarah dalam filem tersebut.

Katanya, semua perkara termasuk proses penggambaran dan jalan cerita filem tersebut akan diumumkan dalam majlis berasingan kelak.

Selain sebagai penerbit, Rosyam juga memegang watak sampingan dalam karya berkenaan.

“Saya akan membuat kemunculan khas dalam filem ini, namun biarlah wataknya dirahsiakan dahulu,” tuturnya.

WAJAH tiga penerbit bersama Juang (dari kiri), Matt Lai, Rosyam dan Jack Lim.

Cacamarba

Sementara itu, Erma Fatima pula berkata, dia menyahut tawaran sebagai pengarah Juang kerana tertarik dengan jalan ceritanya yang situasi semasa.

Tidak mahu berfikir negatif, pengarah filem Embun itu enggan membayangkan perbandingan yang mungkin akan dicetuskan penonton tentang kelainan sentuhannya bersama lima pengarah lain menerusi Juang kelak.

“Saya tidak rasa tertekan apabila diberitahu akan digandingkan dengan lima pengarah lain. Tanggungjawab yang kami akan galas sangat besar, bukan sahaja untuk filem, tetapi mesej yang ingin disampaikan kepada para penonton.

“Saya menerima tawaran menjayakan filem ini kerana semangat yang hendak diperjuangkan dalam karya ini. Apatah lagi pandemik Covid-19 sangat baharu dan tidak pernah difilemkan lagi.

“Bagaimanapun, sebelum terbuka hati menerima tawaran, saya terlebih dahulu ingin tahu jalan cerita dan skrip.

“Saya tertarik dengan idea mereka. Tetapi, saya meletakkan syarat, saya hanya melakukan babak disukai sahaja. Alhamdulillah, mereka setuju dengan cadangan tersebut,” katanya.

Tambah Erma, dia yakin jalan cerita filem Juang tidak akan kelihatan tunggang-langgang biarpun mendapat sentuhan enam sutradara.

“Saya yakin semuanya akan berjalan lancar, kami akan berkongsi jurukamera, jadi tidak ada masalah warna atau jalan cerita yang cacamarba,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang pelakon yang diberi peranan utama dalam filem berkenan, Zul Ariffin pula berpendapat, Juang bakal menjadi sebuah filem epik kerana pertama kali memaparkan jalan cerita petugas barisan hadapan.

“Semoga saya tidak menghampakan semua pihak terutama golongan petugas barisan hadapan. Filem ini untuk anda,” kata Zul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI