JAKARTA – Seorang guru wanita sanggup berkunjung ke rumah anak-anak muridnya pada setiap hari untuk sesi pengajaran selepas sekolah ditutup sejak penularan wabak Covid-19 di Indonesia, lapor Tribun News.
Guru itu, Susilawati berkhidmat di Sekolah Rendah 131 Manyollong, Sinjai Tengah, Kabupaten Sinjai di Sulawesi Selatan akan membawa satu dulang aluminium sebagai papan tulis.
Dia akan meminta pelajar berkumpul di sebuah rumah terpilih sebelum memulakan sesi pengajaran di kawasan pedalaman. Guru itu berbuat demikian kerana menyedari bahawa bukan semua pelajarnya mempunyai akses sambungan internet atau memiliki telefon pintar.
Susilawati menggunakan pen penanda untuk menulis di atas dulang berkenaan semasa mengajar.
“Anak-anak murid saya kurang faham jika pembelajaran dibuat secara lisan jadi saya perlu mencatatnya di papan tulis ini.
“Dulang aluminium adalah pilihan terbaik kerana bersaiz kecil selain mudah untuk dibawa berbanding papan tulis yang sebenar,” jelasnya.
Seorang pelajar, Nur Afiqah memberitahu dia dan rakan-rakan tiada masalah mengikuti kelas bersama Susilawati meskipun menggunakan dulang.
Ketua Perkhidmatan Pendidikan Sinjai, A Jefrianto Asapa berkata, pihaknya menghargai usaha kreatif semua guru untuk memastikan ilmu disampaikan kepada pelajar ketika pandemik Covid-19.
“Ramai guru mengambil pendekatan seperti Susilawati sepanjang musim Covid-19. Kami berasa kagum dengan usaha yang ditunjukkan golongan pendidik ini dan sedang cuba meningkatkan sistem pembelajaran dan pendidikan negara ini secepat mungkin,” katanya. – Agensi