KUALA LUMPUR – Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi belum dapat beroperasi susulan masih ada pencemaran dikesan di Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan sehingga pukul 12.30 tengah hari tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman berkata, pencemaran air mentah itu berada pada tahap 18 ton manakala bacaan di muka sauk LRA Bukit Tampoi pada lapan ton serta sembilan ton di muka sauk LRA Sungai Semenyih.
“Henti tugas ini menyebabkan Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 602 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada para pengguna di 274 kawasan.
“Gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka mengambil masa yang lama untuk pulih sepenuhnya kerana kedua-dua loji itu dihenti tugas selama 20 jam,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Menurutnya lagi, pihaknya telah menggerakkan sebanyak 64 lori tangki air kepada premis-premis kritikal, sekolah serta kawasan perumahan yang terjejas.
“Sejak pukul 8 pagi tadi kita sudah gerakkan lori tangki air dan sebanyak 14 tangki statik dan 10 pili awam juga disediakan untuk kemudahan para pengguna,” ujarnya. – K! ONLINE