Ole AZAHAR HASHIM
KULIM – Seorang wanita menerima enam jahitan di bibir dan bengkak di muka selepas ditumbuk suaminya yang dipercayai hilang pertimbangan kerana cemburu dalam kejadian di Taman Kemuning di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 5.50 petang itu, mangsa yang berusia 45 tahun turut dipukul dengan plat besi di belakang badan.
Mangsa yang terpaksa menahan sakit menunggang motosikal sejauh empat kilometer ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila suami mangsa yang berusia 48 tahun menumbuk muka wanita itu sebaik memasuki rumah dipercayai kerana cemburu.
“Suspek yang menganggur mengambil plat besi dan memukul pula belakang badan isterinya,” katanya
Susulan kejadian itu, polis memberkas suspek di lokasi kejadian dan menemui besi yang digunakan untuk memukul mangsa.
Siasatan mendapati pasangan itu yang memiliki seorang anak perempuan kerap bergaduh dan mangsa kerap dipukul dipercayai kerana cemburu.
Suspek mempunyai satu rekod jenayah kes mencuri direman empat hari bermula semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan 326A Kanun Keseksaan.-K! ONLINE