DENGKIL – Aktiviti pembersihan di sebuah ladang angsa yang terletak di Sungai Pajam, Negeri Sembilan, disyaki menjadi punca pencemaran air mentah di Sungai Semenyih sehingga dua Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas semalam.
Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, selain ladang tersebut, Kawasan Perindustrian Nilai 3 turut disyaki menjadi punca kepada pencemaran di Sungai Batang Benar yang menjadi sumber air mentah kepada Sungai Semenyih.
Beliau berkata, kedua-dua sungai yang terletak di sempadan negeri Selangor itu telah mengalami pencemaran bau sehingga menjejaskan kualiti air Sungai Semenyih.
“Setakat pukul 9.30 pagi tadi bacaan di Sungai Semenyih berada pada tahap 8 ton dan kedua-dua LRA masih tidak boleh beroperasi ketika ini.
“LRA akan dibuka semula selepas bacaan bau tiada (0 ton). Kita tidak pasti bila LRA ini akan beroperasi, namun kita telah mengepam air dari beberapa kawasan untuk disalirkan ke dalam Sungai Semenyih bagi meneutralkan semula air sungai terbabit,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Tasik Idaman, di sini hari ini selepas meninjau aktiviti mengepam air tasik tersebut ke dalam Sungai Selangor.
Menurut Loy Sian, bau yang dikesan di Sungai Semenyih ketika ini adalah bau bangkai (organik) dan bukan bau minyak (oil).
“Bacaan maksimum yang dicatatkan semalam (pukul 9 malam) adalah 11 ton dan kita lihat ketika ini ada kadar pengurangan iaitu kira-kira 8 ton (bacaan semasa).
“Kita harap masalah ini dapat diselesaikan petang ini,”ujarnya.
Semalam Kosmo! melaporkan LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah ke loji-loji ini.
Ekoran henti tugas itu, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan, seramai 309,605 akaun pengguna di 273 kawasan akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 4 wilayah iaitu wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang-K! ONLINE.