Oleh TOREK SULONG
PASIR PUTEH – Kelab Volenteer I Care (VIC) berjaya mengutip dana menerusi tabung ihsan untuk melangsaikan baki hutang tertunggak bagi rawatan pundi kencing, Shariman Abdullah, 9, berjumlah RM2,239 kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Pengerusi VIC, Muhammad Afiq Aiman Sukry berkata, baki tertunggak itu dapat diselesaikan selepas mendapat reaksi positif daripada penderma setelah tabung ihsan untuk membantu keluarga kanak-kanak itu dilancarkan baru-baru ini.
Menurutnya, PPUM juga sudah menghantar resit pembayaran yang akan diserahkan kepada ibu kanak-kanak itu, Wan Sharifah Wan Hamad, 33, di Kampung Permatang Gading di sini.
“Bantuan derma orang ramai telah meringankan bebanan keluarga ini yang sekali gus menangkis kebimbangan kemungkinan mereka berdepan tindakan undang-undang di mahkamah.
“VIC juga akan menyerahkan lain-lain barangan keperluan untuk digunakan oleh Shariman yang menghidap penyakit Nephrotic Syndrome sejak dilahirkan lagi,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Akhbar Kosmo! baru-baru ini melaporkan masalah keluarga Shariman yang menghidap Nephrotic Syndrome (NS) dan langkah VIC melancarkan tabung berkenaan bagi meringankan bebanan keluarga berkenaan yang kini tinggal di sebuah rumah sewa kerana tidak memiliki kediaman sendiri.
Mengulas lanjut, Muhammad Afiq berkata, VIC hanya memikul amanah penderma yang memberi kepercayaan melaksanakan kerja amal kebajikan khususnya membantu asnaf di seluruh negeri ini.
Sementara itu, Wan Sharifah berkata, notis pemberitahuan terakhir bagi tindakan saman dari syarikat guaman diterima empat tahun lalu sering menimbulkan kebimbangan kerana dia tidak mampu untuk membayarnya.
“Saya bersyukur segalanya telah selesai selepas berita mengenai anak saya disiarkan di akhbar Kosmo! baru-baru ini.
“Jasa penyumbang tidak terbalas oleh kami. Syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu khususnya VIC yang bukan sahaja mencari penaja malah mengurus bantuan dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya. -K! ONLINE