fbpx

Abraham perlu hormati peraturan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABRAHAM (kanan) bertelagah dengan Azpilicueta (kiri) yang tidak mahu memberikan bola untuk dia mengambil sepakan penalti ketika menang 4-0 ke atas Palace kelmarin. – AFP

LONDON – Pengurus Chelsea, Frank Lampard memberi amaran kepada penyerangnya, Tammy Abraham agar menghormati peraturan yang sudah ditetapkan mereka ketika menang 4-0 ke atas Crystal Palace pada aksi Liga Perdana Inggeris kelmarin.

Pada aksi di Stamford Bridge itu, Abraham bertengkar dengan kapten, Cesar Azpilicueta yang mahu memberikan bola kepada Jorginho bagi menyempurnakan sepakan penalti ketika The Blues sedang mendahului Palace 3-0.

Sebelum itu, Abraham, 24, dilihat berbincang dengan Timo Werner berhubung siapa yang akan mengambil sepakan tersebut sebelum Azpilicueta memberikan bola kepada Jorginho untuk meledak gol keempat Chelsea pada minit ke-82.

“Ia sudah selesai dan ini yang saya mahukan iaitu seorang ke­tua yang tegas. Saya tidak kisah jika ada sedikit konflik antara pemain seperti hari ini (kelmarin).

“Saya faham Abraham terde­sak untuk menjaringkan gol dan dia berhak berdasarkan prestasi yang ditampilkannya. Bagaimanapun, anda tidak boleh mendahului senarai yang sudah ditetapkan oleh pasukan,” tegas Lampard.

Sementara itu, Lampard percaya, skuad kendaliannya perlu menampilkan aksi lebih agresif walaupun meraih empat gol menerusi dua sepakan penalti Jorginho serta masing-masing satu jaringan daripada Ben Chilwell dan Kurt Zouma.

“Tidak banyak pasukan yang mampu menjaringkan empat gol ke atas Palace dan kami perlu tingkatkan lagi tempo permainan selepas ini. Chilwell menampilkan aksi yang cukup menakjubkan hari ini (kelmarin),” kata Lampard. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI