PETALING JAYA – Seramai 32 tokan dan penagih dadah, termasuk empat wanita, ditahan polis di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Putra Damai, Lembah Subang di sini semalam.
Serbuan Ops Sarang Khas yang bermula pukul 9 malam hingga 6 pagi itu disertai 40 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, 28 lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun yang disyaki terbabit aktiviti penyalahgunaan dadah diberkas.
Katanya, semakan mendapati dua daripada suspek yang ditahan itu dalam proses untuk Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985mmanakala dua lagi suspek masih dalam siasatan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Dalam serbuan itu, pihak polis merampas pelbagai jenis dadah iaitu heroin seberat 505.42 gram, 41.14 g (syabu) dan 2.8g (ganja) dengan rampasan keseluruhan bernilai RM21,949,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kesemua suspek ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6, 12(2), 15(1)(a), 39A(1) dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE