JAKARTA – Seorang suspek kes bunuh lapan tahun lalu akhirnya ditangkap polis selepas lelaki itu pulang ke kampung halamannya di Desa Talang Betutu, Palembang, Sumatera Selatan di Indonesia baru-baru ini.
Asgaburillah@Sabil, 34, dipercayai suspek utama dalam kejadian tembakan seorang mangsa wanita bernama Siti Fauziah, 35, pada tahun 2012, lapor portal berita Kompas.com.
Ketua Polis Kota Palembang, Komisioner Anom Setiyadji berkata, suspek mengambil keputusan pulang ke kampung kerana beranggapan polis sudah melupakan kes pembunuhan itu.
“Dia menjadi orang dikehendaki selama lapan tahun sejak kes itu dilaporkan. Suspek sering berpindah-randah di luar Sumatera Selatan bagi mengelakkan dikesan polis.
“Baru-baru ini, dia dikatakan pulang ke kampung kerana beranggapan kes itu sudah dilupakan,” jelasnya.
Tambah Anom, peristiwa lapan tahun itu berlaku selepas suspek berang dengan mangsa yang tidak mampu membayar hutangnya berjumlah 30 juta rupiah (RM8,400).
Suspek enggan mendengar alasan mangsa yang mengaku tiada wang lalu melepaskan dua das tembakan ke arah kepala Siti Fauziah, menyebabkan kematiannya.
Sementara itu, Sabil ketika disoal siasat polis mengakui menyesal terhadap perbuatannya dan tidak berniat untuk menembak mati mangsa.
“Pistol itu hanya untuk menakutkan mangsa tetapi secara tiba-tiba tembakan dilepaskan,” dakwanya.
Sabil didakwa di bawah Akta 338 Undang-Undang Jenayah atas perbuatan bunuh dan boleh dipenjara seumur hidup jika sabit kesalahan itu. – Agensi