fbpx

Selangor salur bantuan khas mahasiswa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bantuan khas tersebut akan disalurkan menerusi program Bantuan Prihatin Siswa Darul Ehsan kepada mahasiswa yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 termasuk ketidaktentuan status di pusat pengajian masing-masing.

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan menyalurkan bantuan khas menerusi program Bantuan Prihatin Siswa Darul Ehsan kepada mahasiswa yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 termasuk ketidaktentuan status di pusat pengajian masing-masing.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan daripada kerajaan negeri Selangor itu melibatkan pengangkutan kepada mereka yang perlu pulang ke kampung, makanan, pelitup muka dan cecair sanitasi tangan.

Katanya, pihaknya sedang mengumpul maklumat untuk menyalurkan semua kemudahan itu menerusi program Bantuan Prihatin Siswa Darul Ehsan.

“Program itu akan memfokuskan bantuan kepada tiga kategori mahasiswa yang belajar di Selangor dan negeri lain serta mereka dari negeri lain yang belajar di Selangor.

“Kita berharap inisiatif ini dapat meringankan beban dihadapi golongan tersebut yang terkesan ketika ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, situasi Covid-19 yang semakin membimbangkan memberi cabaran serius kepada rakyat terutama mahasiswa selain keadaan ekonomi yang turut terjejas akibat pandemik itu menekan kewangan kepada golongan tersebut.

Amirudin menambah, kerajaan negeri melalui Kaukus Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muda Selangor akan menyalurkan bantuan itu menerusi kerjasama Team Selangor dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

“Mahasiswa yang memerlukan bantuan itu boleh merujuk kepada pautan disediakan bagi proses permohonan dan maklumat tambahan.

“Bagi Borang Bantuan Pengangkutan Anak Negeri Selangor, mereka boleh melayari http://bit.ly/mdekatC, manakala Borang Bantuan Makanan Siswa Kampus Selangor (http://bit.ly/mdekatB) dan Borang Edaran TS Care Kit (http://bit.ly/mdekatA),” katanya.

Kelmarin, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) meminta semua institusi pengajian tinggi (IPT) menangguhkan dahulu pendaftaran pelajar baharu dan lama secara fizikal termasuk aspek pengajaran dan pembelajaran sehingga pengumuman baharu dibuat.

Semua urusan pendaftaran pelajar boleh dilaksanakan secara dalam talian demi memelihara kesejahteraan dan keselamatan semua pihak berikutan pertambahan kes baharu Covid-19 di negara ini. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI