KETUA Jurulatih skuad hoki remaja lelaki negara, Wallace Tan meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok empat teratas pada Kejohanan Piala Remaja Asia di Dhaka, Bangladesh Januari depan.
Meskipun berdepan beberapa cabaran termasuk tidak boleh ke luar negara bagi menjalani aksi persahabatan, namun beliau berharap skuad kendaliannya mampu menangani situasi tersebut.
“Sebenarnya masa yang lebih panjang diperlukan bagi mempersiapkan pasukan terbaik untuk ke kejohanan pada Januari depan, namun kita akan cuba yang terbaik serta ikut apa yang sudah ditetapkan.
“Satu lagi cabaran yang perlu dihadapi adalah kami tidak boleh berlepas ke luar negara untuk menjalani aksi persahabatan tetapi perlu diingat, negara lain turut berdepan situasi sama,” kata Wallace.
Sekiranya pasukan negara mampu menempatkan diri dalam kelompok empat teratas pada kejohanan di Dhaka nanti, mereka akan mendapat slot secara automatik ke Piala Dunia Remaja di India yang turut berlangsung tahun depan.
“Walaupun kita berdepan banyak halangan, namun saya tetap meletakkan sasaran untuk layak ke Piala Dunia Remaja menerusi kejohanan Piala Remaja Asia itu nanti.
“Tidak kira kejohanan apa sekalipun, sekiranya ia dijadikan sebagai aksi kelayakan, sudah tentu saya mahu kita layak. Saya percaya dengan kemampuan semua pemain biarpun kita hanya ada masa singkat untuk lakukan persiapan,” tambahnya.
Sementara itu, beliau juga tidak akan membenarkan senarai 26 pemainnya untuk menyertai Liga Hoki Dalam Dewan yang dijadualkan bermula 17 Oktober hingga 20 Disember bagi mengelak sebarang kecederaan.
“Memandangkan kejohanan terdekat adalah Januari depan, jadi pemain-pemain kita tidak boleh sertai liga tersebut kerana mereka perlu fokus pada latihan di sini selain mahu elak mereka daripada tercedera,” ujarnya.