PORTO, Portugal – Seorang lelaki warga emas maut akibat disengat satu kawanan tebuan gergasi Asia semasa sedang memetik buah bersama rakannya pada pagi Khamis lalu, menurut laporan Mirror UK.
Mangsa, Celso, 70, sedang memetik buah pisang kaki bersama rakannya, Pal Abilio Rodrigues, 60, di sebuah ladang di Gondomar, dekat bandar Porto sebelum serangan berlaku, lapor akhbar Jornal de Noticias.
Celso mengalami tindak balas alahan anafilaksis yang teruk sehingga menyebabkan dia maut. Rodrigues yang terselamat akibat serangan itu berkata, kejadian berlaku secara tiba-tiba dan sangat pantas.
“Saya sedang memotong pisang daripada pokok semasa kawanan tebuan mengerumuni dan menyerang kami di kepala serta tangan.
“Kami berdua melarikan diri dari kawasan itu untuk meminta bantuan. Saya cuba meletakkan cuka pada kesan sengatan namun, Celso sudah tidak mampu bertutur pada ketika itu,” ceritanya.
Ketua Jabatan Bomba, Joao Nunes menyatakan mereka cuba menyelamatkan Celso sebaik tiba di lokasi kejadian namun, gagal.
“Kami cuba sekat pengaliran bisa tebuan di dalam badan mangsa tetapi jantung Celso sudah terhenti,” katanya.
Pihak bomba kemudiannya memusnahkan sarang tebuan yang ditemui di ladang itu. – Agensi