fbpx

Pasukan bomba komuniti pertama libatkan Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Md. Salleh Sarbini menyerahkan sijil bomba komuniti kepada Pengerusi Bomba Komuniti Pos Hendrop, Kamal Rami di Dewan Orang Ramai Pos Brooke, Gua Musang.

Oleh AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menubuhkan pasukan bomba komuniti yang pertama dianggotai Orang Asli di negeri ini.

Pengarahnya, Md. Salleh Sarbini berkata langkah yang dilaksanakan itu sebagai tindakan awal jika berlaku kes kecemasan di kawasan penempatan Orang Asli terutamanya di kawasan Hulu Kelantan.

Katanya, pada peringkat awal ,JBPM telah menubuhkan tiga pasukan membabitkan 32 anggota bomba komuniti dalam kalangan Orang Asli di Pos Brooke dan Pos Hendrop di sini.

“JBPM akan melatih pasukan bomba komuniti Orang Asli untuk mengendalikan alat pemadam api dan mengawal insiden kebakaran.

“Jika berlakunya kebakaran dan bomba mungkin lambat sampai kerana kedudukan penempatan yang jauh jadi pasukan bomba sukarela dapat membantu mengawal kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Kempen Kesedaran Dan Keselamatan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan Bersama Komuniti Orang Asli di Pos Brooke di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu, Roslina Bun.

Mengulas lanjut, Md. Salleh berkata, pihaknya juga menyasarkan untuk menubuhkan pasukan bomba sukarela untuk Orang Asli.

Katanya, pasukan bomba sukarela Orang Asli akan lebih lengkap, tersusun, diberi latihan lebih komprehensif dan mempunyai peralatan kebombaan yang dibekalkan oleh kerajaan.

“Kita juga melihat keperluan untuk mewujudkan sebuah balai bomba di kawasan pos penempatan Orang Asli di Gua Musang kerana jarak perkampungan komuniti itu jauh dari Balai Bomba dan Penyelamat daerah.

“Kita lihat ekonomi 2,000 penduduk Orang Asli di Pos Brooke semakin berkembang apabila terletak di laluan perhubungan jalan Pantai Timur ke Pantai Barat. Jadi sememangnya memerlukan balai bomba di kawasan ini,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI