fbpx

Mohammad berjaya tawan Gunung Wuling

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Wuling, Taiwan.

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Penggiat sukan berbasikal negara, Mohammad Mos, 43, kini mampu berbangga apabila berjaya menakluk Gunung Wuling, Taiwan menerusi cabaran kayuhan berbasikal, semalam.

Dia berjaya mencipta nama apabila melakukan kayuhan selama 14 jam dalam cabaran kayuhan lebih 200 kilometer (km) melalui trek perlumbaan yang paling berbahaya di dunia itu.

“Alhamdulillah berkat keyakinan dan kesungguhan saya berjaya mencapai impian menakluk Gunung Wuling dengan menaiki basikal.

“Saya berasa bangga kerana berjaya menamatkan cabaran itu kerana ia menjadi impian setiap pelumba basikal antarabangsa dan tempatan berikutan keadaannya yang mencabar.

“Kejayaan ini adalah untuk seluruh rakyat Malaysia selain mencatat rekod peribadi sempena Hari Sukan Negara Perwakilan Malaysia di Taipei yang disambut pada bulan Oktober setiap tahun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Katanya, dia memulakan kayuhan pada jam 5 pagi selepas solat Subuh dan tiba di puncak pada jam 7 petang Sabtu ditemani beberapa rakan kayuhan dari Indonesia Cycling Team (ICT) dan Taiwan.

Mohammad berkata, dia tidak mengalami  sebarang masalah sepanjang cabaran dan basikal berada dalam keadaan sempurna malah cuaca juga baik.

Menurutnya, selepas selesai kayuhan, dia turut menambah jumlah kayuhan sebanyak 175 km  secara solo pulang ke Taipei melalui jalan persisiran tepi laut.

“Pengorbanan latihan yang dilalui selama dua bulan akhirnya berbaloi kerana saya berjaya mencipta satu lagi rekod peribadi sepanjang menceburi bidang sukan lasak ini.

“Ia bukan sesuatu yang mudah namun, bukanlah sesuatu perkara yang mustahil kerana ia boleh dicapai sekiranya kita meletakkan kesungguhan dan sikap keyakinan diri yang tinggi,” katanya._K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI