AHMEDABAD – Mayat seorang kanak-kanak perempuan yang tertimbus runtuhan sampah di sebuah tapak pelupusan sampah sejak seminggu lalu akhirnya ditemui semalam.
Mangsa, Neha Vasava, 12, dikatakan mencari barangan terpakai di tapak pelupusan sampah Pirana pada 26 September lalu untuk dijual semula sebagai sumber pendapatan.
Semasa kejadian, Neha ke tapak itu bersama kanak-kanak lelaki, Anil Marwari, 7, menurut laporan portal berita The Indian Express.
Kemalangan berlaku semasa timbunan sampah di tempat mereka berdiri tiba-tiba runtuh, menyebabkan kedua-duanya tertimbus. Anil bernasib baik kerana tertimbus separuh badan dan berjaya dibantu penduduk setempat.
Inspektor M M Laiwala dari Balai Polis Danilimda berkata, penduduk kampung membuat laporan selepas gagal mencari Neha di bawah timbunan sampah.
“Lima buah kren digunakan untuk mencari Neha namun, sejak beberapa hari lalu, kami diberitahu peluang untuk mangsa terus hidup semakin tipis.
“Dua pasukan jabatan bomba menggali timbunan sampah di tapak ini dan akhirnya pada hari Sabtu, kira-kira pukul 2.30 petang (waktu tempatan), mayat mangsa yang sudah reput ditemui,” katanya.
Mayat Neha dibawa ke Hospital Awam Ahmedabad untuk dibedah siasat bagi mengesahkan punca kematian.
Ibu mendiang Neha, Ranjanben Manu Vasava yang merupakan seorang balu dan pekerja buruh berada di lokasi semasa mayat anaknya ditemui. – Agensi