MANCHESTER – Karier profesional pemain tengah Manchester United, Andreas Pereira kembali ‘bernyawa’ selepas melengkapkan perpindahan menyertai jaguh Serie A, Lazio secara pinjaman hingga akhir musim ini.
Perjanjian itu juga menyaksikan Lazio boleh membeli Pereira secara tetap dengan yuran perpindahan bernilai £25 juta (RM134.7 juta) apabila tamat tempoh pinjaman tersebut.
Pemain berusia 23 tahun itu kini boleh mendapatkan semula prestasi terbaiknya selepas ‘dibekukan’ oleh pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer yang lebih gemar menggunakan khidmat Bruno Fernandes dan Donny van de Beek di bahagian tengah pasukannya musim ini.
Ia terbukti apabila pemain yang pernah membuat satu penampilan bersama pasukan senior Brazil itu langsung tidak tersenarai dalam skuad utama The Red Devils menghadapi dua perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) setakat ini.
Difahamkan, Lazio akan membayar keseluruhan gaji Pereira walaupun dia cuma berstatus sebagai pemain pinjaman kerana pengendali pasukan itu, Simone Inzaghi mempunyai perancangan besar untuk mencabar kejuaraan Serie A musim ini.
Sebagai rekod, Pereira sering disisihkan apabila sekadar bermain sebanyak 45 perlawanan EPL bersama United sejak berhijrah daripada kelab Belanda, PSV Eindhoven pada 2011.
Namun, Pereira dilihat berjaya mempamerkan prestasi jauh lebih baik apabila tidak beraksi dengan United seperti dilakukannya ketika dipinjamkan kepada dua pasukan Sepanyol dalam saingan La Liga, Granada pada musim 2016/2017 dan Valencia (2017/2018). – AGENSI