fbpx

Latihan lari ke pantai Morib kenangan manis anak Sidek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
M.Noor (kanan) menurunkan tandatangan pada monumen sambil diperhatikan Norza (dua kanan) dan anak-anak Datuk Mohd. Sidek di kawasan Monumen Badminton Keluarga Datuk Mohd.Sidek di Kanchong Darat Banting hari ini.

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

KUALA LANGAT – Latihan berlari sejauh kira-kira 10 kilometer setiap hari merupakan kenangan manis dilalui oleh lima anak Allahyarham Datuk Mohd. Sidek Abdullah Kamar sebelum bergelar jaguh badminton di negara ini.

Menurut lagenda Badminton Negara, Datuk Misbun Mohd.Sidek, latihan keras itu merupakan arahan diberikan ayah mereka dalam memastikan kecergasan setiap daripada mereka dengan larian bermula dari rumah di Kanchong Darat sehingga Pantai Morib di sini.

Katanya, tiada jalan pintas bagi dia bersama empat adiknya yang lain Jalani, Razif, Rahman dan Rashid menempa nama di pentas antarabangsa.

“Kami tidak banyak membantah sebaliknya mengikuti segala arahan daripada arwah ayah kerana takut dimarahi.

“Setelah menjadi pemain badminton negara dan kini menjadi jurulatih baru saya faham segala maksud latihan keras yang diberikan arwah ayah yang memberikan manfaatnya sehingga kini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Monumen Badminton Keluarga Datuk Mohd. Sidek di Kanchong Darat hari ini.

Perasmian itu telah disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk M. Noor Azman Taib yang turut dihadiri Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Mengulas lanjut, Misbun memberitahu, cabaran kini adalah mencari pemain berbakat seperti jaguh negara seperti Datuk Lee Chong Wei.

“Pencarian bakat ini bukan kerja jangka pendek tetapi jangka panjang dalam melihat potensi yang benar-benar mantap meskipun kita mempunyai ramai pemain berbakat,” katanya.

Sementara itu, M. Noor menegaskan kementerian bersedia membina mana-mana monumen bagi menghargai kejayaan seseorang atlet dalam lain-lain sukan selain badminton pada masa depan.

“Selain kejayaan atlet badminton yang pernah memenangi Piala Thomas pada tahun 1992, negara juga cemerlang dalam sukan lumba basikal acara keirin, skuasy dan boling,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI